Rabu, 25 Mei 2011

Perkhemahan Agung Unit-Unit Beruniform SMK Membakut 2011

Perkhemahan Agung Unit-Unit Beruniform SMK Membakut 2011 telah diadakan pada 20 - 23 Mei 2011 di Pusat Latihan Binsuluk. Perkhemahan ini telah disertai seramai 15 orang pelajar bagi setiap unit berikut :
1. Pergerakan Puteri Islam Malaysia
2. St. John Ambulans
3. Kadet Remaja Sekolah
4. Kadet Bomba
5. Kelana laut
6. Pengakap Malaysia
7. Kadet Polis

Gambar-gambar di bawah ini telah diambil daripada facebook SMK Membakut (dengan izin yer)buat tatapan semua...Enjoy d Photos!




Selasa, 24 Mei 2011

Hebatnya Seorang IBU


'Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak.

Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh saya dedikasikan buat ibu saya. Malah hemat saya juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu?

Dulu, Kisah sebuah memori

Masih tersemat utuh dalam ingatan saya betapa ibu saya cukup mudah mengalirkan air mata. Semasa saya atau adik saya dirotan ayah, ibulah selalunya akan membela dengan aliran air mata. Semasa kakak saya yang sulung melangkahkan kaki meninggalkan rumah mengikut suami selepas majlis akad dilangsungkan, ibu saya menghantar pemergiannya dengan linangan air mata. Masa itu saya cukup pelik kenapa ibu saya menangis sedangkan kakak saya pergi secara terhormat mengikut suami. Masa itu saya buntu tidak berjawapan.

Suri rumah sepenuh masa menjadikan anak-anak amat rapat dengan ibu. Masih terbayang di minda saya hingga kini betapa kalutnya ibu saya setiap pagi menyediakan sarapan sebelum saya dan adik-adik ke sekolah. Sememangnya saya antara anak yang cukup susah untuk makan pagi sekalipun dengan hanya minum teh dan apa yang pasti ibu saya akan membawa minuman hingga ke pintu luar dan akan pastikan saya mengambil sarapan walaupun dengan hanya seteguk air.

Masih terngiang kata-kata ibu bila saya mula berdegil tidak mahu bersarapan, "Minum lah sikit baru cergas dalam kelas" atau kadang-kadang ibu juga mengugut jika saya tetap berdegail, "Tak baik tu, minum sikit nanti tak berkat belajar". Mungkin kerana takut dengan ugutan, saya selalunya akan memaksa diri minum juga walau seteguk.

Tabiat saya yang jarang bersarapan melekat hingga kini kerana tiada siapa lagi yang boleh memaksa saya bersarapan. Tapi yang agak melucukan apabila ibu saya selalu berpesan dicorong-corong telefon setiap kali saya saya menelefon rumah atau melalui SMS dengan 3 perkara; kerapkan mandi, ambil sarapan dan banyakkan minum air. Tapi biasalah saya memang degil...

Kisah ibu saya yang murah air mata terhadap anak-anak saya panjangkan dengan kisah kakak sulung saya. Ketika abang ipar saya menyambung pengajian di UKM sejurus sahaja lahir anak sulung menjadikan hidup mereka sekeluarga agak susah. Hidup di Kuala Lumpur menjadikan kesempitan mereka kian parah. Berbekalkan gaji sebagai kerani sekolah kakak saya yang tidak sampai ke angka 1000 dan separuh gaji suami lantaran bercuti menyambung pengajian sepenuh masa sebagai guru menjadikan hidup mereka kian terhimpit.

Hidup menyewa di rumah setinggan yang rata-rata didiami warga Indonesia menjadikan hati saya pilu dan kadang-kadang mata saya juga berkaca. Pernah saya berseloroh pada kakak saya untuk membawa pulang Along (anak sulung kakak saya) ke kampung bila lahirnya anak yang kedua. Reaksi yang saya terima hanyalah linangan air mata tanpa kata. Kakak saya menangis bila ada sahaja cadangan mahu memisahkan dia daripada anak-anak. Tekadnya biarlah susah macam mana sekalipun asalkan anak-anak tetap bersama.

Niat saya semasa memberikakan cadangan untuk membawa pulang anak sulung kakak saya ke kampung dan dipelihara ibu saya lahir daripada rasa kesian yang amat sangat dengan kesempitan yang dialami. Mudah-mudahan kesusahan tersebut dapat dikurangkan.

Pernah suatu ketika semasa melahirkan anak kedua, semasa dalam pantang 40 hari kakak saya ke klinik dengan menaiki bas bersama 2 anak. Anak sulung berumur setahun setengah dipimpin dan anak ke dua yang baru berumur sebulan didukung dengan menaiki bas untuk ke klinik dalam kesesakan kota. Hati mana yang tidak sedih bila mendengar khabar susah kakak sebegitu. Tidak mampu saya bayangkan betapa susahnya hidup mereka anak-beranak.

Namun semuanya diceritakan selepas abang ipar saya tamat pengajian dan sekarang sudahpun menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang Psikologi Dan Pendidikan Khas Kanak-Kanak Istimewa. Sesungguhnya perlu saya iyakan, disebalik kehebatan seorang lelaki rupanya ada jasa insan tabah yang bernama isteri.

Kini, Kisah Sebuah Realiti

Pandangan saya bahawa ibu saya hanya mampu menangis bila berpisah dengan anak-anak rupanya meleset. Dalam Majlis Konvokesyen apabila saya naik ke pentas untuk berucap mewakili pelajar ibu saya langsung tidak menangis. Semasa di lapangan terbang ketika menghantar saya ke Mesir, ibu saya juga tidak menangis. Masih saya ingat senyuman dan pelukkan terakhir tersebut langsung tidak menunjukkan reaksi sedih malah ibu saya nampak tenang dan gembira. Apa yang terbaliknya saya pula yang sebak dan mata saya sedikit berkaca sebagaimana ayah saya juga.

Lama saya berfikir kenapa ibu saya mula bertegas dan tidak menangis ketika menghantar saya di Airport. Seminggu selepas itu saya menelefon ibu saya dan saya straight bertanya kenapa demikian jadinya. Ibu saya bercerita bahawa 3 tahun beliau bersedia dengan perpisahan ini sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke KIAS, Nilam puri dan bertegas untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Katanya lagi, kini tiada apa lagi yang mahu disedihkan kerana hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang berilmu kian hampir.

Ibu saya tidak menaruh harapan yang terlampau tinggi terhadap saya dan adik-beradik lelaki yang lain. Katanya beliau sudah puas hati sekiranya anak-anak berilmu, mampu menjadi imam di masjid dan mampu berkongsi ilmu dengan orang kampung. Pada saya tanggungjawab itu susah dan harapan itu tinggi.

**Kredit to www.iluvislam.com

Ahad, 15 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU


IKRAR HARI GURU


Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Selasa, 10 Mei 2011

HORMAT KEPADA GURU


Hormat kepada Guru

Posted by Osman Affan under Persediaan Minda



Kalau saya ditanya apa perbezaan paling ketara antara pelajar cemerlang dengan pelajar kurang cemerlang, saya akan katakan “Hormat kepada Guru“.

Saya telah banyak buat program disekolah-sekolah, kolej dan universiti. Malah saya sendiri ada mengajar di Pusat Tuisyen saya sendiri. Apa yang saya lihat, pelajar cemerlang sangat menghormati guru mereka. Perkara paling mudah untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru ialah dengan mendengar dengan teliti semasa guru bercakap. Fokuskan tumpuan anda kepada apa yang guru sedang katakan.

Walaupun kadangkala anda tidak faham apa yang guru anda katakan, bersabar dan teruskan dengar dengan teliti. kemudian, tanya guru anda apa yang anda masih kurang faham. Adakalanya guru tidak melayan soalan anda kerana mengejar masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, anda tanya guru anda di luar waktu kelas. Guru selalunya akan merasakan anda amat bersungguh-sungguh dalam pelajaran jika anda bertanya tentang pelajaran di luar waktu kelas. Jadi, mereka akan lebih mesra melayan soalan anda.

Jika anda masih kurang jelas mengapa hormat kepada guru itu penting, bayangkan anda hendak mengajar dua adik atau adik saudara atau sesiapa yang lebih muda daripada anda. Adik yang pertama sentiasa mendengar penerangan anda dengan teliti. Dia fokuskan perhatian kepada anda dan bercakap dengan anda dengan nada yang sopan.

Adik kedua pula tidak pernah fokus kepada anda. Kadangkala bila anda menerangkan sesuatu kepadanya, dia akan lihat ke arah lain, bermain dengan pensel, atau sibuk makan gula-gula. Kemudian, dia bising bila tak faham cara anda mengajar. Dia juga kadangkala bercakap kasar dan memberikan komen yang menyakitkan hati.

Soalan saya, adik yang manakah akan anda ajar dengan bersungguh-sungguh? Senang untuk menjawab soalan ini bukan? Jadi, jika pelajar yang tidak fokus, biadap dan suka membuat bising di dalam kelas tidak dipedulikan oleh guru, adakah itu pelik? Fikirkan…..

Isnin, 9 Mei 2011

Fikirkan Sejenak...


Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. [HR Bukhari dan Muslim]